Salam Ukhwah...!
Hari 'Asyura merupakan hari ke-10 bulan Muharram. Rasullullah S.A.W menggalakkan umat Islam agar berpuasa pada hari ini kerana ia mempunyai kelebihannya tersendiri. Antaranya :
1. Mempunyai kelebihannya yang tersendiri di samping kelebihan Bulan Muharram itu sendiri (berdasarkan hadis - hadis sohih).
2. 10 Muharram tercatat peristiwa penting untuk renungan kita bersama iaitu Nabi Musa dan pengikutnya telah diselamatkan oleh Allah daripada Fir'aun dan tenteranya yang zalim.
3. 10 Muharram tercatat peristiwa pahit iaitu pembunuhan kejam Sayyidina Husin, cucunda kesayangan Rasullullah S.A.W di Bumi Karbala.
4. Ulama juga turut berpesan supaya berpuasa pada hari ke-9 Muharram bagi membezakan puasa kita dengan yahudi yang berpuasa pada hari ke-10 Muharram.
Beberapa hadis - hadis yang sohih dibawah ini menjelaskan kelebihan berpuasa pada 10 Muharram atau juga dikenali sebagai Hari 'Asyura:
Daripada Ibnu Abas telah berkata, apabila Rasullullah S.A.W tiba di Madinah, maka baginda telah melihat orang yahudi berpuasa pada hari ke-10 (Muharram) maka baginda bertanya yang bermaksud: "Apakah ini?" Maka jawab mereka ; "ini merupakan hari yang baik yang mana pada hari inilah Allah S.W.T menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Nabi Musa berpuasa pada hari ini. Maka sabda baginda S.A.W : " Maka aku lebih layak dengan Nabi Musa daripada kamu" maka baginda pada hari ini. Dan baginda menyuruh untuk berpuasa pada hari ini. (Telah dikeluarkan oleh Iman Bukhari, Muslim dan Abu Daud).
Daripada Abdullah bin Ma'bad az-Zamani daripada Abu Qatadah bahawa Nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud: "Berpuasa pada Hari 'Asyura (ke-10 Muharram) sesungguhnya aku mengharapkan atas Allah SWT bahawa Dia akan menghapuskan dosa setahun yang sebelumnya." (Diriwayatkan oleh Iman Tarmizi).
Daripada Ibnu Shihab daripada Hamid bin Abdul Rahman bahawa dia telah mendengar Mu'awiyah bin Abu Sufian berucap pada Hari 'Asyura tahun jahi di atas mimbar: "Wahai penduduk Madinah! dimanakah Ulama' kamu?" aku telah mendengar Rasullullah S.A.W telah bersabda bermaksud: "Ini adalah hari 'Asyura dan Allah tidak mewajibkan ke atas kamu berpuasa. Aku berpuasa (pada hari ini) maka sesiapa yang mahu (berbuka) maka berbukalah." (Dikeluarkan oleh Iman Bukhari, Muslim dan Abu Daud).
Hukum berpuasa pada hari ini adalah Sunat bukannya kewajipan. Sesiapa yang mahu berpuasa bolehlah berbuat demikian kerana ganjran yang besar dijanjikan kepada mereka yang berpuasa pada hari ini iaitu diampuni segala dosanya pada tahun - tahun yang lalu.
Bacaan niat puasa hari 'Asyura (puasa 10 Muharram) :
Nawaitu sauma 'asyura lillahi ta'ala, ertinya
"Saya niat puasa hari 'asyura, kerana Allah Ta'ala"
Semoga apa yang di kongsikan ini bermanfaat dan dapat menambahkan amalan sebagai bekalan di akhirat nanti.
Sumber dari blog Ustaz Sharhan Shafiee: Islam itu indah/Fadhilat Puasa Sunat 'Asyura